“ABANG! Along...” Puan Mariam tak mampu berkata-kata lagi. Menggeletar tangannya saat membaca surat yang anak sulungnya tinggalkan di atas meja. Dia tunjukkan surat itu kepada suaminya.
“Allah...” Encik Raof sentuh dadanya yang mula terasa pedih. Anak yang seorang ini tak habis-habis buat masalah. Kali ini masalah yang ditimbulkan terlalu besar hingga memalukan dua buah keluarga.
“Abang, apa kita nak buat sekarang? Majlis nikah tu petang ni saja.”
“Ayah, mak. Kenapa ni?” Hadi pelik melihat mak dengan ayahnya berdiri di hadapan bilik abangnya, Radzi. Dia membaca surat yang ayahnya hulurkan. Bibir diketap menahan marah.
“Dia kata dah insaf. Tapi buat hal lagi!” Surat direnyukkan dan dicampak ke lantai. Kerana terlalu marah dia menumbuk pintu. “Kalau cuma sekadar keluarga tanggung malu tak apa. Macam mana dengan keluarga Syafikah?”
Tak dapat Hadi bayangkan betapa remuknya hati Syafikah jika mendapat tahu tentang perkara itu. Dia keluarkan telefon dari koceknya dan mendail nombor Radzi. Panggilannya terus masuk ke dalam peti mel suara. Panggilan ditamatkan. Dia mencuba sekali lagi. Sama seperti tadi, panggilannya masuk ke dalam peti mel suara.
“Along ni kalau tak buat hal tak boleh agaknya.” Radzi cuba hubungi abangnya buat kali ketiga. Namun, sama seperti tadi. Panggilan terus masuk ke dalam peti mel suara.
“Kita kena bagi tahu Abang Mail tentang perkara ni.” Puan Mariam bernada sedih.
“Abang malu nak hadap Abang Mail. Apa kita nak bagi sebagai alasan? Kenapa anak kita lari? Padahal dia yang bersungguh-sungguh nak meminang Syafikah dulu.”
“Malu atau tak, kita tetap kena hadap Abang Mail dengan Kak Juriah. Anak kita buat hal. Kita kena tanggung akibatnya.”
Hadi kepal penumbuknya. Kalau Radzi ada di hadapannya saat ini, memang dia sudah tumbuk abangnya. Radzi sudah mungkir janji untuk tidak menyusahkan ayah dan emak mereka lagi.
“Biar adik cari along dulu. Sempat lagi kalau nak heret along balik.”
“Adik, tak payah. Mak tak rasa mak mampu tengok muka along sekarang.” Puan Mariam segera melarang.
“Selagi ayah bernafas, ayah haramkan along jejak kaki kat rumah ni lagi. Jom, Yam. Kita pergi jumpa Abang Mail.”
Hadi tidak mampu berbuat apa-apa jika itu kemahuan ayahnya. Kesalahan abangnya kali ini terlalu besar sehingga sukar untuk dimaafkan.